SIBU, 17 Jun: Seramai 38 penghuni hilang tempat tinggal selepas Rumah Panjang Gamang, Jalan Panasu di sini, terbakar petang semalam.
Bagaimanapun, kesemua penghuni berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian itu.
Komander Operasi Kanan, Andy Alie berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 6.56 petang dengan menggerakkan 22 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah dibantu BBP Sibu Sentral ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian didapati kebakaran melibatkan sembilan pintu rumah panjang itu.
“Kebakaran dipercayai bermula daripada pintu pertama sebelum merebak keseluruhan rumah panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pihak bomba bertindak menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran 200 kaki, empat nozel, pam jentera dan sumber air dari pili bomba berdekatan sehingga kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya.
Punca kebakaran serta nilai kerugian yang dialami masih dalam siasatan pihak bomba.-TVS