SIBU, 16 Jun: Seorang wanita berusia 52 tahun maut manakala suaminya cedera parah selepas motosikal yang mereka naiki bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Sibu-Durin, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, kejadian berlaku sekitar jam 8.35 pagi membabitkan sebuah motosikal dan sebuah kereta jenis sedan.
“Siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa keluar dari simpang sebelah kiri jalan sebelum bertembung dengan kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 42 tahun dari arah Sibu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala suaminya yang berusia 63 tahun patah pergelangan tangan kanan.
Akibat kemalangan itu, motosikal mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan manakala kereta turut rosak di bahagian depan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati terutama ketika keluar dari simpang dan memastikan keadaan jalan selamat sebelum meneruskan perjalanan. – TVS