WASHINGTON, 16 Jun: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Ahad meramalkan bahawa Israel dan Iran akan mencapai perdamaian “dalam masa terdekat” dan banyak pertemuan sedang diadakan ke arah itu, lapor Anadolu Ajansi.
“Iran dan Israel sepatutnya membuat perjanjian, dan mereka akan buat perjanjian,” kata Trump di platform Truth Social.
Kenyataan itu dibuat ketika Israel dan Iran saling melancarkan serangan baharu pada Ahad.
Konflik tercetus pada awal Jumaat apabila Israel menyerang kemudahan ketenteraan dan nuklear Iran, mengorbankan ramai pegawai kanan dan saintisnya.
“Kita akan capai PERDAMAIAN, tidak lama lagi, antara Israel dan Iran! Banyak panggilan dan pertemuan sedang berlangsung sekarang,” katanya.
Trump turut mendakwa bahawa beliau “tidak pernah diberi penghargaan atas apa-apa,” namun menambah, “tak mengapa, RAKYAT faham. JADIKAN TIMUR TENGAH HEBAT SEMULA!” -TVS