GEORGE TOWN, 16 Jun: Tindakan rejim Israel yang melancarkan serangan udara ke atas Iran sehingga mengorbankan nyawa, dan menyasarkan infrastruktur strategik pencabulan terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa dan prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pengerusi Penang4Palestine M.S Anuar Mahmod berkata serangan sejak 13 Jun itu bukan sahaja meningkatkan ketegangan serantau, malah berpotensi mencetuskan peperangan lebih besar di Timur Tengah.
“Apa yang lebih tragik, serangan itu dilakukan tatkala Israel sedang giat melaksanakan genosid di Gaza dan rakyat Palestin kini kebuluran akibat sekatan makanan dan ubat-ubatan. Malah, hospital runtuh, khemah pelarian dibom, dan ribuan kanak-kanak terbunuh tanpa belas kasihan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan dengan itu, beliau yang juga Ketua Penggerak Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Pulau Pinang menyeru menghentikan serta-merta semua tindakan ketenteraan serta provokasi oleh Israel ke atas mana-mana negara termasuk Iran dan wilayah Palestin.
Beliau berkata Penang4Palestine juga menggesa Israel supaya menamatkan pendudukan dan sekatan di Gaza dan Tebing Barat serta menghormati hak asasi rakyat Palestin.
Penang4Palestine turut menyatakan komitmen dan sokongan penuh kepada inisiatif Flotilla to Gaza yang membawa bantuan kemanusiaan merentas lautan walaupun diancam keganasan tentera laut Israel, dan solidariti terhadap gerakan Marching to Gaza yang mencerminkan semangat keberanian serta kebangkitan rakyat dunia menentang kezaliman.
Pencerobohan Israel yang berterusan ke atas Gaza sejak Oktober 2023 mengakibatkan sekurang-kurangnya 55,297 kematian manakala lebih 128,426 lagi cedera.
Selain itu, ribuan mangsa dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan dan tidak dapat diselamatkan oleh pasukan kecemasan serta pertahanan awam akibat serangan berterusan Israel.- TVS