BINTULU, 16 Jun: Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Bintulu-Bakun, petang tadi.
Komander Operasi, Eric Wilson Jutin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.46 petang sebelum menggerakkan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, didapati kemalangan melibatkan dua kenderaan iaitu Proton Saga dan Proton Saga FLX. Seorang mangsa lelaki berusia 48 tahun yang juga pemandu Proton Saga FLX disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan.
Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa dan menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Dua lagi mangsa iaitu seorang wanita dewasa dari Proton Saga dan seorang lelaki dewasa dari Proton Saga FLX mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Bintulu oleh ambulans KKM sebelum ketibaan bomba.
Pihak bomba turut menjalankan kerja-kerja pembersihan di lokasi bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya. – TVS