KUALA LUMPUR, 16 Jun: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka menyambung proses rakaman keterangan seorang individu bergelar Tan Sri berhubung siasatan kes penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang, Khamis ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan proses berkenaan akan berlangsung di kediaman individu terbabit di ibu negara pada 9 pagi, 19 Jun ini.
Pada 11 Jun lepas, SPRM telah merakam keterangan awal individu terbabit selama enam jam bermula kira-kira 9 pagi, namun ia terpaksa dihentikan sementara atas faktor kesihatan.
Sebelum ini media melaporkan SPRM menyita pelbagai aset, termasuk beg tangan, barangan kemas, kenderaan mewah, jam tangan, wang tunai, dan kediaman mewah keseluruhannya dianggarkan kira-kira RM32 juta dipercayai milik seorang pemegang konsesi lebuh raya bergelar Tan Sri, bagi membantu siasatan. -TVS