KUCHING, 16 Jun: Edisi keempat Sustainability and Renewable Energy Forum (SAREF 4.0) bakal memberi tumpuan kepada peranan penting Asia Tenggara dalam memperkukuh keterjaminan tenaga, membina rangka kerja tenaga serantau dan mempercepat transformasi rendah karbon melalui kerjasama rentas sempadan.
Forum anjuran Sarawak Energy itu dijadual berlangsung pada 3 dan 4 September 2025 dan kekal sebagai platform serantau utama yang mengangkat isu pembangunan mampan dan tenaga bersih.
Naib Presiden Kanan, Strategi dan Pembangunan Korporat Sarawak Energy, Dr Chen Shiun berkata, SAREF 4.0 kali ini lebih berfokus kepada agenda tenaga serantau sejajar dengan peranan ASEAN dalam menerajui usaha peralihan tenaga secara adil dan inklusif.
“Forum ini berteraskan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG), khususnya dalam hal ehwal tindakan iklim, tenaga bersih dan pembangunan menyeluruh tanpa diskriminasi,” katanya ketika ditemui TVS sempena Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Tenaga (SOME) Ke-43, di sini.
Bertemakan “Perkongsian untuk Matlamat Kita: Pertumbuhan Mampan dan Kemakmuran Serantau”, forum itu akan membincangkan topik seperti pembangunan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara, kerjasama melalui ASEAN Power Grid, strategi peralihan tenaga adil, dan peluang pelaburan dalam teknologi tenaga bersih.
Menurut beliau, sejak edisi pertamanya pada 2019, SAREF memainkan peranan penting dalam mengetengahkan isu kelestarian di rantau ini.
“Ketika itu, isu perubahan iklim dan pembangunan mampan belum menjadi keutamaan dalam wacana umum. Kini SAREF menjadi medan penting merapatkan pelbagai pihak ke arah masa depan hijau yang mampan,” ujarnya.
Chen berkata SAREF juga bertujuan menyatukan penggubal dasar, pemain industri dan komuniti bagi memperkukuh gerakan kelestarian secara menyeluruh.
“Peralihan tenaga bukan sahaja soal teknologi, tetapi memastikan prosesnya berlaku secara adil tanpa mengabaikan mana-mana lapisan masyarakat,” katanya.
Orang ramai yang berminat digalakkan mendaftar awal sebelum 31 Julai 2025 untuk menikmati diskaun yuran penyertaan. Maklumat lanjut boleh diperoleh di www.saref.com.my.