KAPIT, 16 Jun: Sarawak kini mencatat kemajuan besar dalam sektor penjanaan tenaga dengan peningkatan kapasiti daripada hanya 1 gigawatt kepada 7 gigawatt.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pencapaian tersebut mencerminkan usaha gigih membangunkan infrastruktur tenaga mampan termasuk projek gas kitaran gabungan di Bintulu dan Miri yang masing-masing menyumbang 1 gigawatt.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Sarawak Energy Berhad (SEB) atas perancangan teliti dalam memastikan bekalan tenaga yang mencukupi dan berdaya saing untuk keperluan domestik dan eksport.
“Sarawak kini dalam kedudukan lebih baik untuk memenuhi permintaan tenaga tempatan dan antarabangsa sambil memfokuskan kepada tenaga hijau dan boleh diperbaharui,” katanya selepas lawatan ke Projek Hidroelektrik Baleh hari ini.
Menurutnya, Sarawak juga giat melabur dalam teknologi solar di Bakun dan Murum yang dijangka menyumbang masing-masing 1 gigawatt selain meneroka potensi tenaga hidrogen.
“Kita sasarkan lebih 60 hingga 70 peratus tenaga boleh diperbaharui dalam campuran tenaga Sarawak menjelang 2030,” ujarnya.
Tambahnya, dengan langkah tersebut, Sarawak bersedia menjadi peneraju pengeluaran tenaga hijau di Asia sekali gus mengurangkan jejak karbon dan memberi manfaat kepada ekonomi serta rakyat. – TVS