Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata rancangan menyalurkan tenaga elektrik ke Filipina tertakluk kepada keputusan Kerajaan Persekutuan.

Sarawak teliti potensi bekal tenaga elektrik ke Filipina

ByFebbright James

KUCHING, 16 Jun: Sarawak kini sedang meneliti potensi untuk memperluas penyaluran tenaga elektrik ke selatan Filipina melalui Sabah sebagai langkah strategik menyokong pelaksanaan Grid Tenaga ASEAN.

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, perkara itu sedang dibincangkan dan tertakluk kepada keputusan Kerajaan Persekutuan.

“Jika mereka bersetuju, maka Sarawak bersedia memainkan peranan untuk merealisasikannya,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam sempena Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Tenaga (SOME) ke-43 di sini, malam ini.

Sarawak kini menjadi antara peneraju tenaga bersih di rantau ini dengan lebih 65 peratus kapasiti penjanaan elektriknya disumbangkan oleh hidroelektrik.

Dalam usaha memperkukuh peranannya, Abang Johari turut memaklumkan Sarawak sedang membangunkan dasar baharu dikenali sebagai Pelan Hala Tuju Gas Sarawak yang akan dilaksanakan oleh Petroleum Sarawak Berhad (PETROS).

“Pelan ini akan merangkumi keseluruhan wilayah Sarawak dan berpotensi untuk diperluas ke negeri jiran di Borneo. Kita memiliki sumber gas yang mencukupi dan akan bekerjasama dengan rakan strategik untuk membekalkan gas bukan sahaja kepada Sarawak tetapi juga kepada jiran serantau,” jelasnya.

Sarawak turut mengorak langkah dalam teknologi penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS), termasuk dalam penghasilan gas sintetik melalui campuran karbon dengan hidrogen.

Teknologi ini berpotensi menghasilkan bentuk tenaga baharu seperti metanol dan ammonia, yang boleh digunakan dalam pelbagai sektor termasuk perkapalan.

“Ketika ini, Sarawak telah mengeksport metanol ke China sejak lima bulan lalu dengan kapasiti pengeluaran mencecah 5,000 tan sehari.

“Langkah seterusnya adalah memproses metanol menjadi ammonia, satu lagi bentuk tenaga yang berpotensi besar,” katanya lagi.

Abang Johari menyifatkan inisiatif ini sebagai satu parameter penting dalam pembangunan tenaga di Sarawak yang bukan sahaja memberi manfaat domestik, tetapi turut menyumbang kepada kestabilan tenaga serantau.

“Dengan semangat ASEAN, saya yakin kita boleh berkongsi teknologi dan membina masa depan yang cerah bersama,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan