KUCHING, 16 Jun: Sarawak bersedia untuk memainkan peranan lebih besar dalam kerjasama tenaga serantau dengan berkongsi lebihan tenaganya ke wilayah jiran, sejajar dengan aspirasi membangunkan Grid Tenaga ASEAN yang lebih kukuh dan bersepadu.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata ketika ini, Sarawak memiliki kapasiti tenaga sebanyak tujuh gigawatt (GW), dengan 65 peratus dijana daripada sumber tenaga hidro, manakala selebihnya melalui turbin gas.

“Kerajaan Sarawak menyasarkan untuk meningkatkan kapasiti ini kepada 10 gigawatt menjelang tahun 2030, iaitu peningkatan sebanyak tiga gigawatt dalam tempoh empat tahun akan datang.
“Sarawak ialah negeri kecil dengan populasi sekitar 2.8 juta. Jika kita ada lebihan tenaga, kita bersedia berkongsi dengan rakan-rakan kita dalam ASEAN,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam bersempena Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Tenaga (SOME) ke-43 di sini, malam ini.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Ujar beliau, penambahan ini akan tetap mengekalkan komposisi 60 hingga 70 peratus daripada sumber boleh diperbaharui, khususnya tenaga hidro sejajar dengan komitmen negeri itu terhadap tenaga bersih dan matlamat rendah karbon.
Ketika ini, Sarawak telah pun menyalurkan tenaga ke Kalimantan Barat, Indonesia sejak enam tahun lalu, sekali gus membuktikan kebolehlaksanaan sambungan grid rentas sempadan di rantau ini.
“Sarawak juga sedang giat menyambung grid tenaga ke Sabah dengan bekalan awal sebanyak 100 megawatt dijangka bermula awal tahun hadapan.
Kerajaan Persekutuan turut sedang meneliti cadangan untuk menyambung grid ini ke selatan Filipina melalui Sabah, sebagai sebahagian daripada pelan memperluas sambungan ASEAN Power Grid.
“Jika dipersetujui Kerajaan Persekutuan, Sarawak akan melaksanakan tanggungjawab untuk merealisasikan sambungan ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Sarawak turut giat membangunkan teknologi hidrogen sebagai sumber tenaga alternatif hasil kerjasama strategik dengan rakan antarabangsa seperti Jepun, Korea serta syarikat tempatan Gentari dan Petronas.
Proses penghasilan hidrogen ini menggunakan teknologi elektrolisis yang berasaskan air dari lima empangan sedia ada di negeri itu.
“Kami percaya dalam beberapa tahun akan datang, teknologi ini akan menjadi lebih mampu milik dan berdaya saing sebagai alternatif kepada hidrogen,” katanya.
Sebagai langkah awal, Sarawak bakal menjadi negeri pertama di rantau ini yang memperkenalkan sistem pengangkutan awam berasaskan hidrogen, melalui pelancaran ART (Autonomous Rapid Transit) yang dijadualkan pada tahun depan.
Melalui pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui dan kerjasama rentas sempadan yang kukuh, Sarawak kini muncul sebagai pemacu utama dalam peralihan tenaga di Asia Tenggara bukan sekadar memenuhi keperluan domestik tetapi turut menyumbang ke arah jaringan tenaga serantau yang lebih stabil, mampan dan saling berkaitan.