SIBU, 16 Jun: Sebuah rumah panjang tidak kekal musnah dalam kebakaran di Jalan Penasu petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.56 petang dan jentera pertama tiba di lokasi sejauh 12 kilometer itu pada jam 7.19 malam.
“Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 7.44 malam dengan operasi pemadaman dijalankan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah serta BBP Sibu Sentral sebagai balai bantuan,” katanya.
Menurutnya, kebakaran melibatkan rumah panjang sembilan pintu berstruktur tidak kekal dengan anggaran keluasan 180 x 150 kaki persegi.
“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang 200 kaki dan empat pancutan pam jentera dengan sumber air diperoleh dari pili bomba berhampiran,” ujarnya.
Seramai 22 anggota bersama dua jentera FRT, satu unit EMRS dan sebuah kenderaan utiliti Hilux terlibat dalam operasi.-TVS