SRI AMAN, 16 Jun: Sebuah rumah musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung STC, Jalan Rambutan di sini hari ini manakala sebuah kereta mewah jenis Mercedes turut terjejas.
Komander Operasi, Noor Faqriakmal Jamari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.53 pagi sebelum sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman dikerahkan ke lokasi.
“Sebaik tiba, rumah berkenaan didapati terbakar sepenuhnya, manakala kereta Mercedes mengalami kerosakan 15 peratus di bahagian hadapan,” katanya dalam kenyataan.
Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran salur bantu mula dan berjaya mengawal kebakaran.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana penghuni sempat menyelamatkan diri. – TVS