Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Teo Nie Ching (empat kiri) mendengar pandangan penggiat muzik tempatan dalam sesi libat urus Program Kembara Ask Me Anything anjuran MyCreative Ventures di Sandakan Foto TVS

RM10 juta dana CEMI bantu lonjak industri muzik Borneo

SANDAKAN, 16 Jun: Industri muzik di Borneo kini berpeluang meraih manfaat daripada dana RM10 juta menerusi Concert and Event Incentive Malaysia (CEMI) bagi menggalakkan penganjuran konsert berskala besar di seluruh negara.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, meskipun dana tersebut terbuka kepada seluruh Malaysia tumpuan diberikan kepada Sabah dan Sarawak yang sebelum ini kurang diwakili dalam sektor hiburan berskala besar.

“Sabah dan Sarawak mempunyai identiti muzik tersendiri. Kita mahu pastikan mereka turut menerima manfaat,” katanya selepas merasmikan program Kembara Ask Me Anything anjuran MyCreative Ventures (MyCV) di Sandakan, hari ini.

Beliau memaklumkan sebanyak 408 konsert antarabangsa dianjurkan di Malaysia pada 2024, menyumbang lebih RM553 juta kepada ekonomi negara namun majoritinya tertumpu di Semenanjung.

Di bawah CEMI, penganjur konsert melibatkan artis antarabangsa di lokasi berkapasiti 15,000 penonton ke atas layak menerima rebat sehingga 30 peratus tertakluk kepada maksimum RM1.5 juta.

Bagi konsert artis tempatan, rebat sehingga RM1 juta ditawarkan termasuk insentif tambahan RM100,000 jika syarat jualan tiket dan kehadiran pelawat antarabangsa dipenuhi.

Rebat tersebut hanya boleh dituntut selepas acara berlangsung bagi menjamin ketelusan dan mengelak penyelewengan dana awam.

“Ramai penganjur di Sabah dan Sarawak belum tahu mengenai dana ini. Sebab itu kami turun padang beri penerangan,” ujar Teo/

Setakat 12 Jun, sebanyak 37 permohonan diterima dengan tarikh tutup permohonan pada 10 Julai ini.

Pada majlis sama, Teo menyampaikan replika cek RM80,000 kepada Persatuan Seni Kreatif dan Pemuzik Tempatan Sandakan melalui Dana Kandungan Kreatif (DKK) bagi penganjuran Sandakan Natural City Loud Festival pada Julai.

Dana DKK kini bernilai RM6.3 juta bagi 2024, menyokong projek persembahan muzik dan promosi domestik serta antarabangsa.

Sejak 2022, ia menjana lebih 9,000 peluang pekerjaan dalam industri kreatif.

Program Kembara AMA akan diteruskan di Kota Kinabalu pada 18 dan 19 Jun, diikuti Kuching pada 21 Jun. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan