ISTANBUL, 16 Jun: Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Rusia Vladimir Putin, membincangkan konflik yang semakin memuncak antara Iran dan Israel, serta hubungan dua hala dan isu serantau dalam satu panggilan telefon pada Isnin, menurut Direktorat Komunikasi Turkiye.
Dalam perbualan itu, Erdogan memberi amaran yang kitaran keganasan yang tercetus akibat serangan Israel ke atas Iran mengancam keselamatan seluruh rantau, menurut kenyataan agensi itu yang dilaporkan Anadolu Ajansi.
Erdogan berkata kerajaan Netanyahu yang mengabaikan undang-undang adalah ancaman nyata kepada sistem antarabangsa dan menegaskan yang rantau ini tidak mampu menanggung satu lagi peperangan.
Sejak awal lagi, Ankara mengutamakan inisiatif diplomatik untuk menghentikan serangan, kata Erdogan, sambil menegaskan satu-satunya jalan penyelesaian dengan Iran adalah melalui saluran diplomasi dan rundingan mesti disambung semula tanpa berlengah.
Erdogan turut menegaskan bahawa serangan Israel ke atas Iran tidak seharusnya menenggelamkan perhatian dunia terhadap jenayah genosid yang sedang berlaku di Gaza.
Putin pula menyatakan keperluan mendesak untuk menamatkan konflik dan membuka ruang bagi proses diplomatik.
Ketegangan serantau meningkat sejak Jumaat lalu apabila Israel melancarkan serangan udara secara serentak ke atas beberapa lokasi di Iran, termasuk kemudahan ketenteraan dan nuklear, yang mendorong Tehran melancarkan serangan balas. -TVS