SIBU, 16 Jun: Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah terbesar di Sarawak dengan rampasan keseluruhan bernilai RM8.53 juta, susulan penahanan sepasang suami isteri dalam operasi besar-besaran oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu pada 12 dan 13 Jun lalu.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata berkata pasangan terbabit, lelaki berusia 52 tahun dan isterinya berumur 44 tahun, ditahan dalam serbuan di tiga lokasi berasingan melibatkan sebuah kedai di kawasan Pusat Pedada dan dua rumah teres di Lorong Permai Jaya.
“Serbuan itu membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM530,000, menjadikannya rampasan dadah terbesar pernah direkodkan di Sarawak setakat ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini. Hadir sama, Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili.

Antara dadah yang dirampas termasuk 7,086.7 gram syabu, 2,078.9 gram ketamin dan 2,022.6 gram pil Erimin 5, yang secara keseluruhan mampu digunakan oleh kira-kira 49,702 penagih.
Polis turut menyita pelbagai harta dipercayai milik sindiket terbabit dengan nilai anggaran RM7.99 juta, termasuk wang tunai RM5.15 juta, empat jongkong emas, dua utas rantai emas, tiga jam tangan mewah jenama Rolex serta tiga kereta jenama Lexus RX350F Sport, Lexus ES250 dan Toyota Vios.
“Beberapa kad bank, kunci dan peralatan pembungkusan dadah turut dirampas bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Menurut Mancha, siasatan awal mendapati pasangan itu menjadi dalang utama sindiket pengedaran dadah di Sibu sejak 2015, dengan bekalan diperoleh dari Semenanjung Malaysia melalui perkhidmatan kurier sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
Ujian air kencing mendapati kedua-duanya bebas daripada pengaruh dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekurang-kurangnya 12 sebatan jika tidak dihukum mati.
Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari bermula 13 hingga 20 Jun bagi membantu siasatan.
“Polis sedang mengesan baki ahli sindiket dan komited meneruskan operasi membanteras pengedaran dadah yang menjadi musuh nombor satu negara,” katanya.