PHNOM PENH, 16 Jun: Jumlah dagangan Kemboja dengan negara anggota ASEAN mencecah US$7.2 bilion dalam tempoh lima bulan pertama 2025, meningkat 5.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, menurut satu laporan pada Isnin, lapor Xinhua.
Negara itu mengeksport barangan bernilai US$2.7 bilion ke negara ASEAN lain dalam tempoh Januari hingga Mei tahun ini, meningkat 10 peratus tahun ke tahun, manakala jumlah import keseluruhan ialah US$4.5 bilion, naik tiga peratus, menurut laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan.
Dagangan Kemboja dengan ASEAN menyumbang 28.2 peratus daripada jumlah keseluruhan perdagangan negara itu dalam tempoh berkenaan, menurut laporan itu lagi.
Lima rakan dagangan utama Kemboja dalam ASEAN ialah Vietnam, Thailand, Indonesia, Singapura dan Malaysia.
ASEAN dianggotai oleh Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Perdana Menteri Kemboja Hun Manet berkata pada Sidang Kemuncak Perniagaan Kemboja-ASEAN baru-baru ini bahawa ASEAN telah membuktikan dirinya sebagai mercu kestabilan dan kemakmuran, dengan potensi besar selaras dengan statusnya sebagai ekonomi kelima terbesar dunia.
Beliau menambah bahawa Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) turut mengukuhkan lagi komitmen kukuh ASEAN untuk memperdalam integrasi serantau dan memupuk hubungan ekonomi serta perdagangan yang saling menguntungkan. – TVS