SPAOH, 16 Jun: Pembinaan Klinik Kesihatan Spaoh yang baharu dijangka dimulakan selewat-lewatnya hujung tahun ini, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Beliau berkata, projek bernilai RM36 juta itu merupakan kerjasama antara Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan RM16.5 juta disumbangkan oleh KKM manakala selebihnya ditanggung BDDA.
“Tapak projek telah dikenal pasti dan diperoleh manakala pampasan sudah dibayar kepada pemilik tanah,” katanya ketika berucap di Pusat Khidmat ADUN Bukit Saban pada Isnin.
Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan insentif pendidikan berjumlah lebih RM32,500 kepada 13 penerima merangkumi enam pelajar diploma dan tiga pelajar cemerlang SPM 2024 yang memperoleh 8A dan 9A.
Uggah berharap projek pembinaan klinik baharu itu dapat dimulakan secepat mungkin.
“Minggu depan kami akan mengadakan mesyuarat bersama KKM dan Pengarah Jabatan Kesihatan Sarawak bagi mempercepatkan pelaksanaan projek ini,” ujarnya.
Beliau yang juga ADUN Bukit Saban berkata, kemudahan baharu itu amat diperlukan memandangkan Klinik Kesihatan Spaoh sedia ada sudah uzur dan tidak lagi sesuai digunakan.
“Populasi penduduk di Spaoh terus meningkat saban tahun. Justeru, pelaksanaan projek ini amat mendesak bagi memenuhi keperluan penduduk,” jelasnya.
Dalam pada itu, Uggah turut memaklumkan tiga pusat hemodialisis turut dicadangkan dibina di Spaoh, Beladin dan Kabong yang akan turut dibincangkan dalam mesyuarat bersama KKM minggu hadapan.
“BDDA meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi setiap pusat hemodialisis tersebut. Saya mahu perkara ini dimuktamadkan dan dilaksanakan selewat-lewatnya hujung tahun ini,” kata Uggah.-TVS