KUALA LUMPUR, 16 Jun: Asia perlu membangunkan dasar tenaga yang jelas serta menyeluruh bagi meningkatkan keyakinan pelabur terhadap projek tenaga boleh baharu di rantau ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dasar yang realistik dan pragmatik penting kerana selaras dengan keperluan negara selain turut berupaya meransang aliran modal yang lebih besar ke dalam aktiviti pembangunan tenaga Asia.
Jelas beliau, pendekatan ini adalah mustahak memandangkan Asia Tenggara hanya menarik dua peratus daripada perbelanjaan tenaga bersih global meskipun memiliki potensi besar dalam sektor tersebut.
“Saya tidak menolak kemungkinan (sektor) ini memerlukan pelaburan yang besar. Kita perlu menerima realiti dan tuntutan semasa dan pada masa sama merangka dasar yang realistik dan pragmatik (bersesuaian dengan rantau ini),” katanya.
Anwar berkata demikian semasa berucap pada Perasmian Energy Asia 2025 di sini, hari ini.
Bagi mendepani cabaran tersebut, kata Anwar Malaysia sedang berusaha melaksanakan beberapa dasar untuk mengatasi jurang tersebut.
“Antara dasar adalah seperti Skim Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (CRES) yang membolehkan syarikat memperoleh tenaga bersih melalui grid nasional di bawah model akses pihak ketiga,” ujarnya.
Selain itu, Malaysia jelas beliau turut menyediakan insentif bagi pelaburan hijau menerusi pelbagai mekanisme, termasuk Skim Pembiayaan Teknologi Hijau. – TVS