KUCHING, 16 Jun: Pegawai kanan tenaga dari 10 negara anggota ASEAN berhimpun di sini hari ini bagi menghadiri Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN ke-43 Mengenai Tenaga (43rd Senior Officials Meeting on Energy, SOME) dan mesyuarat berkaitan yang berlangsung sehingga 18 Jun ini.
Negara anggota terlibat ialah Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Lao PDR, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam, manakala Timor-Leste turut hadir sebagai pemerhati.
Hampir 250 perwakilan dijangka menghadiri mesyuarat itu, termasuk pegawai kanan tenaga, wakil Sekretariat ASEAN, Pusat Tenaga ASEAN (ACE) serta Rakan Dialog seperti Republik Rakyat China, Republik Korea, Jepun, Persekutuan Rusia dan Amerika Syarikat.
Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Mad Zaidi Mohd Karli mengetuai delegasi Malaysia dan akan mempengerusikan sesi utama mesyuarat tersebut.
Turut serta ialah wakil daripada beberapa organisasi antarabangsa seperti Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa (IRENA), Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), Institut Penyelidikan Ekonomi untuk ASEAN dan Asia Timur (ERIA), Bank Pembangunan Asia (ADB) dan Bank Dunia.
Mesyuarat yang dianjurkan oleh PETRA itu bertujuan menyelaras dasar tenaga serantau di peringkat pegawai kanan dengan menilai kemajuan Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga ASEAN (APAEC) serta merangka keputusan utama bagi Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-43 (AMEM) yang dijadualkan Oktober ini.
Majlis makan malam rasmi sempena pembukaan mesyuarat akan berlangsung malam ini, diserikan dengan kehadiran Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof.