BUTTERWORTH, 16 Jun: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) kini memberi penekanan terhadap peranan golongan lelaki dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai isu kesuburan di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kementerian itu akan mempergiatkan kempen untuk menggalakkan kaum lelaki menjalani ujian kesuburan sebagai langkah tambahan ke arah memperbaiki kadar kesuburan negara.
Menurut beliau, meskipun kadar kesuburan jumlah (TFR) mencatat peningkatan daripada 1.6 anak bagi setiap wanita pada tahun lalu kepada 1.7 tahun ini, angka tersebut masih rendah dan memerlukan perhatian serta kerjasama pelbagai pihak.
“Banyak program yang lebih memfokuskan kepada wanita, tetapi kita hampir terlupa hakikat bahawa lelaki juga boleh menjadi punca.
“Jadi, tahun ini kita telah mulakan siri jelajah yang menyasarkan golongan lelaki dan perlu libatkan mereka supaya mereka sedar bahawa kadar kesuburan yang rendah bukan hanya disebabkan oleh wanita semata-mata,” katanya kepada pemberita hari ini.
Nancy berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Inspirasi Wanita: Womenpreneurs – Shaping the Future Economy di sebuah hotel di Seberang Jaya dekat sini.
Tambah beliau, walaupun Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah menyediakan pelbagai fasiliti serta program berkaitan kesuburan wanita, namun kerjasama daripada golongan lelaki juga amat diperlukan.
Ujarnya, negara perlu bersiap sedia dalam mempertingkatkan populasi penduduk seiring dengan cabaran menuju status negara tua menjelang 2030.
Dalam pada itu, Nancy turut menegaskan kepentingan peranan pengasuh (caregiver) dalam menyokong dasar kesuburan negara.
“Masyarakat perlu mengiktiraf kerjaya pengasuh sebagai satu profesion penting yang mampu menggalakkan pertambahan kelahiran dalam keluarga.
“Jumlah penjaga yang mencukupi bukan sahaja membantu ibu bapa khususnya wanita untuk kembali bekerja, malah turut menyumbang kepada peningkatan ekonomi keluarga dan secara tidak langsung menyokong kadar kelahiran negara,” katanya lagi. – TVS