LIMBANG, 16 Jun: Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang berjaya mengawal kebakaran belukar daripada merebak ke sebuah rumah berhampiran dalam kejadian di Kampung Bangkuati, malam tadi.
Ketua BBP Limbang, Ramlan Marajan berkata, sepasukan anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan Satu, Mohd Ismail Assan dikerahkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 7.31 malam.
“Setibanya pasukan di lokasi sejauh 17 kilometer dari balai, didapati kebakaran melibatkan belukar berhampiran rumah dan bukannya kebakaran rumah seperti dilaporkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pasukan bomba menggunakan satu aliran salur bantu mula dengan sumber air dari tangki jentera untuk mengawal api agar tidak merebak ke rumah berhampiran.
Operasi pemadaman mengambil masa kira-kira 15 minit dan tamat sepenuhnya pada jam 8.10 malam. – TVS