BETONG, 16 Jun: Majlis Perasmian Jambatan Saribas Satu di Tanjung Lilin, Pusa bakal disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 19 Julai ini.
Jambatan dua lorong sehala sepanjang 1.55 kilometer itu dibina dengan kos RM375.5 juta oleh Brooke Holding Sdn. Bhd., bermula 3 Jun 2019.
Ia turut merangkumi pelebaran dan naik taraf jalan sedia ada sejauh 887 meter di Beladin dan 1.62 kilometer di Pusa, selain pembinaan jalan baharu sepanjang 1.851 kilometer (Beladin) dan 792 meter (Pusa).
Projek tersebut juga melibatkan kerja-kerja saliran, pencahayaan, papan tanda, lampu navigasi dan kerja sokongan lain.
Terletak kira-kira 600 meter ke hilir dari lokasi feri lama di Sungai Saribas, jambatan tersebut menghubungkan Pusa dan Beladin menggantikan perkhidmatan feri dan menjadi sebahagian daripada rangkaian Jalan Pesisir Sarawak serta alternatif kepada Lebuh Raya Pan Borneo.
Pada Mei lalu, majlis prapelancaran disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Projek tersebut sekali gus menamatkan penantian lebih 60 tahun penduduk setempat yang sebelum ini hanya bergantung kepada perkhidmatan feri. – TVS