KUCHING, 16 Jun: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menyifatkan projek Grid Tenaga Borneo yang bakal menghubungkan Sarawak, Kalimantan, Sabah dan Brunei sebagai langkah penting menjadikan Sarawak pembekal utama tenaga bukan sahaja di Borneo malah di peringkat ASEAN.
Beliau berkata, inisiatif itu akan menjadi sebahagian daripada Grid Tenaga ASEAN iaitu rangkaian tenaga serantau yang cekap, bersih dan mampan.
“Melalui sambungan kabel dasar laut ke Semenanjung Malaysia, sistem ini bukan sahaja memperkukuh integrasi tenaga nasional malah memperluas jalinan kerjasama serantau dan menjadikan Sarawak pembekal kuasa utama ASEAN, khususnya dalam penyediaan tenaga hijau,” katanya.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata demikian pada Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN ke-43 mengenai Tenaga (SOME) yang berlangsung di Sarawak selaras dengan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Menurutnya, pemilihan Sarawak sebagai hos utama SOME mencerminkan pengiktirafan terhadap keupayaan wilayah ini dalam menerajui agenda tenaga lestari.
“Sarawak berada di hadapan dalam pembangunan teknologi hijau dan merupakan negeri pertama mengeksport hidrogen ke luar negara. Pemilihan ini turut mencerminkan pendekatan inklusif Kerajaan Persekutuan agar ASEAN dirasai di seluruh negara, bukan hanya tertumpu di Kuala Lumpur atau Putrajaya,” ujarnya.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) katanya menyokong penuh usaha Sarawak dalam pembangunan tenaga hidrogen selaras dengan dasar transformasi tenaga negara.
“Penyertaan aktif Sarawak dalam Grid Tenaga ASEAN memperkukuh kedudukan Malaysia dalam landskap tenaga serantau dan menjadi contoh gabungan teknologi serta kelestarian alam untuk masa depan lebih hijau dan mampan,” jelasnya. – TVS