Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kerjasama rentas sempadan menjadi kunci utama dalam memastikan kesaksamaan perolehan akses kepada tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara.

Grid Tenaga ASEAN kunci peralihan tenaga serantau

ByOdleen Catherny

KUCHING, 16 Jun: Kerjasama rentas sempadan menjadi kunci utama dalam memastikan kesaksamaan perolehan akses kepada tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara.

Naib Presiden Kanan, Strategi dan Pembangunan Korporat Sarawak Energy, Dr Chen Shiun berkata bagi mencapai kesaksamaan itu, Grid Tenaga ASEAN merupakan antara strategi unggul untuk mempercepatkan peralihan tenaga mampan di rantau ini.

Beliau yang ditemui sempena Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Tenaga (SOME) Ke-43 menegaskan bahawa pelaksanaan grid itu bukan sahaja relevan, malah sangat diperlukan ketika ini, khususnya bagi negara-negara seperti Singapura yang kekurangan sumber tenaga boleh diperbaharui.

“Realiti semasa menunjukkan bahawa ada negara yang kaya dengan sumber seperti hidro dan solar, manakala yang lain pula menghadapi permintaan tinggi tetapi tiada kapasiti sumber yang mencukupi. Usaha pelaksanaan grid berkenaan boleh menjadi penyelesaian kepada ketidakseimbangan ini.

“Dengan grid bersepadu, kita boleh bantu satu sama lain dalam peralihan tenaga bersih. Tapi untuk itu berlaku, kita perlukan kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta,” katanya sambil menambah pelan hala tuju grid akan membolehkan pertukaran tenaga antara negara secara lebih efisien.

Bagaimanapun beliau mengakui bahawa tidak semua negara akan mendapat manfaat secara langsung atau serta-merta melalui setiap sambungan grid.

Jelasnya, ada negara yang hanya terlibat sebagai laluan infrastruktur, tanpa menjadi pengguna atau penjana utama dalam fasa awal.

“Fahami bahawa walaupun sesetengah negara mungkin tidak terlibat secara langsung pada peringkat awal, mereka tetap akan memperoleh manfaat pada peringkat seterusnya apabila lebih banyak sambungan diwujudkan.

“Ini satu sistem berangkai,” jelasnya lagi.

Pada masa sama, Chen turut menekankan bahawa perubahan iklim adalah isu sejagat yang memerlukan penyelesaian kolektif.

“Kita semua berkongsi udara yang sama. Tidak ada gunanya satu bahagian ASEAN capai tenaga hijau, sedangkan bahagian lain ketinggalan. Usaha pengurangan karbon mesti dilakukan secara bersama,” katanya.

Beliau menyeru agar negara-negara anggota ASEAN mempercepat rundingan dasar dan perundangan yang membolehkan sektor swasta melabur serta membangunkan infrastruktur grid rentas sempadan.

“Langkah seterusnya adalah menyelaraskan rangka kawal selia antara negara, supaya projek sambungan grid ini dapat dilaksanakan dengan lebih cepat dan lancar,” ujarnya lagi.

Katanya lagi, mesyuarat SOME Kew-43 menjadi platform penting bagi memperkukuh komitmen bersama dalam memastikan masa depan tenaga Asia Tenggara yang lebih hijau, stabil dan bersifat serantau. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan