DARO, 16 Jun: Dua projek berimpak tinggi yang sedang dilaksanakan di Sungai Passin dijangka siap sepenuhnya tahun depan, sekali gus memberi manfaat besar kepada penduduk di kawasan pedalaman itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata, projek pembinaan Jalan Passin kini mencapai 30 peratus kemajuan dan dijadualkan siap sepenuhnya pada Disember 2026.
Sementara itu, Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (RES) yang turut dilaksanakan di kawasan sama kini mencapai 76 peratus status pelaksanaan dan disasarkan siap pada Jun 2026.
“Saya menggesa agar projek RES ini dipercepatkan agar ia boleh digunakan oleh penduduk sebelum Gawai Dayak tahun hadapan,” katanya semasa Majlis Ngiling Bidai Gawai Dayak 2025 di Rumah Lucy, Sungai Passin, semalam.
Menurut beliau, pelaksanaan semula projek Jalan Passin oleh kontraktor penyelamat selepas mengalami masalah sebagai ‘projek sakit’ sebelum ini menunjukkan komitmen serius kerajaan terhadap pembangunan luar bandar.
“Ini penting untuk menghubungkan komuniti pedalaman khususnya di Sungai Passin dengan kawasan lain serta membuka lebih banyak peluang ekonomi dan sosial kepada rakyat,” tambahnya.
Safiee turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang meluluskan projek berkenaan sejak tahun 2018.
Dalam majlis sama, beliau turut menyampaikan sumbangan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM52,000 kepada tujuh rumah panjang dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Passin.
Beliau juga menyerahkan tujuh Sijil Lantikan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) kepada pemimpin tempatan sebagai penghargaan terhadap peranan mereka dalam memelihara keharmonian masyarakat.
Majlis turut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan yang mencerminkan semangat perpaduan serta budaya kekitaan dalam kalangan penduduk di kawasan Daro dan Matu.-TVS