MUKAH, 15 Jun: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu menahan sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) yang didapati melanggar syarat lesen di perairan Mukah petang semalam.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, bot ronda Maritim yang terlibat dalam Operasi Bersepadu bersama Jabatan Perikanan Sarawak (Op Mardof 1/2025) mengesan vesel berwarna biru itu sedang menangkap ikan kira-kira 5.1 batu nautika dari muara Kuala Mukah.
“Hasil pemeriksaan mendapati vesel dikendalikan oleh empat kru termasuk seorang nakhoda, kesemuanya warga tempatan berusia antara 46 hingga 70 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati vesel tersebut menjalankan aktiviti menangkap ikan di luar zon yang ditetapkan seperti yang tertera dalam buku lesen.
Kes disiasat di bawah Seksyen 8(b), Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda atau hukuman penjara.
Vesel bersama kru diiring masuk ke Jeti Pangkalan Maritim Mukah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Jabatan Perikanan Laut Sarawak untuk tindakan lanjut.
Maritim Malaysia turut mengingatkan komuniti maritim agar sentiasa mematuhi peraturan dan mengutamakan keselamatan semasa berada di laut bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini. – TVS