TATAU, 15 Jun: Dua lelaki maut selepas van yang sarat dengan muatan terlibat dalam kemalangan kendiri dan terbalik di Kilometer 16, Jalan Pan Borneo Sibu-Bintulu, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Tatau, DSP Jame Reis berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7.30 pagi dan kedua-dua mangsa tercampak keluar dari kenderaan.
“Mangsa berusia 18 dan 24 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Tatau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Difahamkan, van tersebut dalam perjalanan dari Tatau menuju ke Bintulu sebelum hilang kawalan dan terbalik.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kegusaran awam.
Mereka yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Jeffery Jimbol di Pejabat Trafik Tatau di talian 086-584615. – TVS