MUKAH, 15 Jun: Program UiTM Night Bazaar bukan sekadar platform perniagaan malah berperanan sebagai wadah penting dalam memupuk semangat keusahawanan, membina keyakinan diri dan bakat kepimpinan dalam kalangan pelajar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, program seperti itu memberi ruang kepada pelajar untuk menimba pengalaman dunia perniagaan secara langsung di samping menjana pendapatan.
“Program ini menggalakkan penglibatan pelajar dalam bidang keusahawanan serta mendedahkan mereka kepada aspek pengurusan, kerjasama dan kepimpinan melalui aktiviti berkumpulan,” katanya ketika mengunjungi tapak bazar di perkarangan Takan Berambih, UiTM Cawangan Sarawak Kampus Mukah, semalam.
Royston turut memuji usaha pihak pengurusan UiTM Mukah dan pelajar kerana berjaya menganjurkan program yang bukan sahaja menyumbang kepada ekonomi kampus malah mengeratkan hubungan sesama warga institusi dan masyarakat setempat.
“Inisiatif ini memperkukuh jalinan silaturahim dan semangat kerjasama antara pelajar serta staf dalam menjayakan program secara bersepadu,” ujarnya.
Edisi keenam UiTM Night Bazaar tahun ini berlangsung selama tiga hari bermula 13 hingga 15 Jun, dengan tema Neon Light Glow menampilkan lebih 30 gerai melibatkan pelajar, persatuan dan peniaga luar.
Pelbagai makanan, minuman, barangan dan pakaian ditawarkan menarik perhatian warga kampus serta penduduk sekitar.
Turut memeriahkan acara ialah aktiviti sampingan seperti zumba, karaoke santai, pertandingan karaoke berantai, talent show dan lain-lain yang terbuka kepada semua pelawat dan pelajar.-TVS