Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Ewon Benedick menegaskan Sabah boleh mencontohi Sarawak dalam pelaksanaan pengajaran bahasa ibunda di sekolah. Foto Media DEB

Sabah contohi Sarawak perluas pengajaran bahasa ibunda di sekolah

PENAMPANG, 15 Jun: Sabah sedang mengambil langkah mencontohi Sarawak dalam memperluas pengajaran bahasa ibunda di sekolah, termasuk cadangan untuk memasukkan empat bahasa etnik utama ke dalam kurikulum pendidikan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, pengajaran bahasa Iban yang telah lama dilaksanakan di Sarawak kini turut disusuli dengan pengajaran bahasa Bidayuh secara rintis dan pendekatan ini menjadi inspirasi kepada usaha di Sabah.

“Usaha ke arah ini sedang dibuat. Rombongan dari Sabah juga telah membuat lawatan ke sekolah di Sarawak bagi melihat sendiri pelaksanaan pengajaran bahasa etnik Bidayuh tersebut sebagai tambahan kepada pengajaran bahasa Iban,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan Odou Do Kaamatan di Kampung Mahandoi anjuran komuniti masyarakat Kuala Penyu yang bermastautin di Kota Kinabalu.

Ewon berkata, Sabah telah mengemukakan cadangan kepada Kementerian Pendidikan untuk memperluas subjek bahasa Kadazandusun agar turut merangkumi bahasa Tatana di Kuala Penyu, Kadazan Tangaa di Penampang, Murut Timugon di Tenom dan Dusun Lotud di Tuaran.

“Pengajaran bahasa Kadazandusun selama ini hanya berasaskan dialek Bunduliwan. Selepas menerima pandangan komuniti dan guru‑guru bahasa di beberapa daerah, kami mencadangkan perluasan kurikulum untuk meliputi empat bahasa etnik ini,” jelasnya.

Menurut beliau, Kementerian Pendidikan telah menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk meneliti pelaksanaan cadangan itu, termasuk kemungkinan memulakan program rintis di sekolah‑sekolah terpilih.

“Misalnya, pengajaran bahasa Tatana lebih sesuai dilaksanakan di Kuala Penyu, sesuai dengan latar belakang majoriti penduduknya,” katanya.

Ewon turut menjelaskan bahawa pembangunan modul, buku kerja dan buku teks bagi keempat‑empat bahasa etnik berkenaan sedang berjalan dengan kerjasama persatuan berkaitan yang menerima peruntukan khas.

“Saya bertanggungjawab memastikan dana disalurkan kepada persatuan Tatana, Lotud, Murut Timugon dan Kadazan Tangaa bagi menyokong pembangunan bahan pengajaran,” katanya.

Selain memperkasa bahasa ibunda, beliau turut menekankan pentingnya sambutan budaya seperti Kaamatan terus dikekalkan sebagai simbol perpaduan merentas kaum dan agama.

“Kaamatan kini bukan sekadar diraikan oleh masyarakat Momogun, tetapi turut disambut meriah di luar negara. Ini membuktikan nilai budaya dan bahasa etnik sebagai asas kepada perpaduan masyarakat berbilang kaum,” katanya.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan