KUALA LUMPUR, 15 Jun: Pusingan keenam rundingan nuklear antara Amerika Syarikat dan Iran yang dijadualkan berlangsung pada Ahad di Muscat tidak akan diteruskan, menurut pengesahan Menteri Luar Oman Sayyid Badr Albusaidi menerusi hantaran di platform X.
Rundingan itu yang dirancang susulan lima pusingan sebelumnya sejak April – dengan sesi diadakan secara berselang antara Muscat dan Rom – bertujuan menggantikan perjanjian nuklear 2015 (JCPOA) menerusi perbincangan tidak langsung yang diketuai oleh Utusan Khas AS Steve Witkoff dan Menteri Luar Iran Abbas Araghchi.
Walaupun dibatalkan, Albusaidi menegaskan bahawa “diplomasi dan dialog kekal sebagai satu-satunya jalan ke arah keamanan berkekalan.”
Oman memainkan peranan sebagai pengantara secara senyap tetapi penting sepanjang proses itu, termasuk menjadi tuan rumah rundingan.
Peningkatan ketegangan serantau, termasuk serangan terkini Israel terhadap kemudahan nuklear Iran dan tindak balas peluru berpandu oleh Iran, menyumbang kepada penangguhan rundingan tersebut.
Ketegangan yang memuncak itu turut menimbulkan keraguan terhadap kelangsungan rundingan selanjutnya, lapor media antarabangsa.- TVS