Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
ADUN Daro, Safiee Ahmad memeriahkan program komuniti anjuran Lembaga Sungai-Sungai Sarawak di Nanga Semah pada Sabtu. Foto DUN N.43 Daro.

RM279.73 juta diperuntuk untuk pembangunan Nanga Semah

DARO, 15 Jun: Sebanyak RM279.73 juta disalurkan kepada penduduk Nanga Semah dan kawasan sekitar melalui pelbagai inisiatif pembangunan infrastruktur, kemasyarakatan dan pendidikan dalam satu program komuniti anjuran Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) yang berlangsung di Rumah Lapok Mengga, semalam.

Antara pengisian utama program termasuk perasmian simbolik jeti baharu bernilai RM120,000 di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2024 dan kempen penanaman pokok anjuran Jabatan Hutan Sarawak di perkarangan rumah panjang tersebut.

Majlis turut menyaksikan penyerahan tapak projek naik taraf jalan Rumah Lapok bernilai RM150,000 bagi RTP 2025 kepada syarikat pelaksana Risma Enterprise dan pengumuman projek RTP bernilai RM630,000 untuk kawasan Nanga Semah dan Penasu.

Gimik pemasangan papan tanda projek MRP-PPRMS Rumah Lapok bernilai RM74,000 turut diadakan selain pengumuman projek serupa yang siap di Rumah Haliah dan Rumah Willie melibatkan kos keseluruhan RM539,000.

Dua lagi rumah panjang, Rumah Jantai dan Rumah Lawrence bakal dibaik pulih tahun ini melalui MRP-PPMRS bernilai RM203,837.

Turut diumumkan dua projek infrastruktur berskala besar iaitu Projek Bekalan Air Bersepadu (SAWAS) bernilai RM23 juta dan projek pembinaan jalan sepanjang 21km menghubungkan Nanga Semah, Penasu, Kampung Serban dan SK Batang Lassa di bawah MTR-RMK12 bernilai RM255 juta.

Pada majlis sama, sejumlah RM83,000 disalurkan dalam bentuk geran kepada 19 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk pelaksanaan pelbagai aktiviti komuniti.

Sumbangan jaket keselamatan turut diserahkan kepada pelajar dari SK Nanga Semah, SK Kampung Sabena, SK Kampung Penasu serta tujuh JKKK sebagai usaha meningkatkan kesedaran keselamatan perairan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata, program seperti itu penting dalam menyemai rasa tanggungjawab bersama terhadap keselamatan dan kebersihan sungai terutamanya di kawasan luar bandar.

“Sungai adalah sumber kehidupan utama masyarakat pedalaman. Semua pihak harus lebih peka dan bertanggungjawab memelihara alam sekitar demi kesejahteraan generasi akan datang sejajar dasar PCDS 2030,” katanya.

Majlis turut diserikan dengan simbolik penyerahan tapak projek naik taraf jalan di hadapan Rumah Lapok Mengga sebagai tanda komitmen kerajaan terhadap pembangunan infrastruktur luar bandar.

Turut hadir Pengawal Lembaga Sungai-Sungai Sarawak Lt. Kol. (B) Ding Tiew Wong, Pegawai Daerah Daro Zul Usup, Penghulu Dawi Jinggong dan Tuai Rumah Lapok Mengga.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan