MIRI, 15 Jun: Tiga remaja perempuan yang sesat ketika mendaki di Taman Negara Lambir semalam berjaya ditemui dalam keadaan selamat.
Komander Operasi, Harry Lohoi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.31 petang sebelum menggerakkan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Sentral ke lokasi.
“Pada awalnya, mangsa gagal dihubungi untuk mendapatkan lokasi sebenar. Namun komunikasi berjaya dilakukan sekitar jam 5 petang dan mereka ditemui selamat pada jam 7.30 malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kesemua mangsa diiring keluar dengan berjalan kaki sejauh 2.5 kilometer melalui trek pendakian dan diserahkan kepada keluarga masing-masing pada jam 9.45 malam.
“Operasi ditamatkan sejurus keadaan disahkan selamat,” ujarnya.-TVS