LOS ANGELES, 15 Jun: Perlawanan pembuka tirai kejohanan bola sepak Piala Dunia Kelab antara pasukan Inter Miami yang dibarisi Lionel Messi dan kelab terkemuka Mesir, Al Ahly, berakhir tanpa jaringan pada Sabtu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Al Ahly banyak mengasak pada babak pertama, namun penjaga gol Inter Miami, Oscar Ustari, berjaya menyelamatkan lima percubaan bagi mengekalkan kedudukan tanpa jaringan di Stadium Hard Rock, Miami.
Pada separuh masa kedua yang lebih rancak, Al Ahly pula bergantung kepada ketangkasan penjaga gol Mohamed El Shenawy, yang menepis tandukan jarak dekat Fafa Picault sebelum menafikan sepakan melengkung jarak jauh daripada Messi pada masa tambahan.
Kedua-dua pasukan akan kembali beraksi pada 19 Jun, dengan Inter Miami menentang kelab Portugal, Porto, di Atlanta manakala Al Ahly akan bertemu kelab Brazil, Palmeiras, di New York. – TVS