BELURAN, 15 Jun: Lebih 1,200 penduduk di Pulau Keniogan kini menikmati bekalan elektrik selama 18 jam sehari berbanding hanya 12 jam sebelum ini hasil inisiatif terbaharu yang dilaksanakan oleh Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
Pulau terpencil itu yang sebelum ini tidak menerima bekalan elektrik pada waktu siang kini semakin hampir mencapai sasaran bekalan 24 jam penuh iaitu langkah besar ke arah peningkatan taraf hidup penduduk.
Pulau Keniogan merupakan salah satu daripada tiga pulau di Sabah yang dilengkapi stesen janakuasa diesel sendiri.
Selama ini, kira-kira 200 rumah hanya dibekalkan elektrik dari jam 6 petang hingga 6 pagi.
Menurut Ketua Pegawai Operasi SESB, Mohd Yusmanizam Mohd Yusof, sebuah generator baharu yang lebih cekap dihantar ke pulau tersebut bagi memastikan bekalan yang lebih stabil dan boleh dipercayai.
“Matlamat jangka panjang kami ialah memastikan seluruh negeri Sabah menerima perkhidmatan tenaga yang terbaik dan mampan,” katanya.
Peningkatan tersebut turut membawa impak positif kepada komuniti setempat.
Menurut Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Pulau Keniogan, Lokman Madlis, kemudahan elektrik mengubah gaya hidup penduduk.
“Syukur Alhamdulillah… sekarang kehidupan kami ibarat di bandar. Penduduk kini memiliki penyaman udara, televisyen Astro, peti sejuk dan peti sejuk beku – sangat penting untuk menyimpan hasil laut,” ujarnya.
Wakil JKK Kampung Keniogan, Kamarzaman Marof turut menekankan keperluan bekalan berterusan bagi golongan nelayan.
“Ais batu amat penting untuk kami. Tanpa bekalan elektrik 24 jam, hasil laut mudah rosak dan memberi kesan kepada pendapatan nelayan,” jelasnya.
Sebagai langkah jangka panjang, satu projek melibatkan pemasangan sistem solar hibrid sedang dirancang dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha untuk menyediakan sumber tenaga bersih dan mampan kepada komuniti luar bandar.-TVS