KUALA LUMPUR, 15 Jun: Keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang membatalkan perlawanan tinju pempengaruh tanah air DMA Islam, dilihat wajar bagi memastikan persekitaran sukan negara kekal positif dan profesional.
Penganalisis sukan tempatan Datuk Dr Pekan Ramli berkata mana-mana individu sama ada atlet profesional mahupun amatur, perlu mengamalkan nilai moral yang tinggi kerana pengaruh mereka bukan sahaja terhad kepada arena sukan, tetapi turut memberi kesan kepada masyarakat secara menyeluruh.
Beliau berkata pihak kerajaan turut berhak membatalkan mana-mana penyertaan atau kejohanan yang dilihat mampu mencetus impak negatif kepada orang ramai.
“Sekiranya terdapat pengaruh yang memberi impak negatif, itu satu perkara yang memang Kerajaan sendiri pun perlu beri perhatian. Kerajaan ada hak untuk membatalkan ataupun ada hak juga untuk menangani perkara tersebut.
“Seorang pempengaruh perlu membawa kebaikan dan perkara positif untuk bukan sahaja konteks sosial media sahaja, tetapi arena sukan dan untuk kebaikan anak muda,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sementara itu, Presiden Persatuan Tinju Malaysia (PTM) Datuk Iruan Zulkefli menyifatkan sukan tinju sebagai sukan yang penuh dengan disiplin dan setiap peserta atlet profesional ataupun amatur, perlu mempamerkan pengaruh positif dan bermoral tinggi.
Iruan turut menyifatkan sukan tinju sebagai sukan tempur yang lasak dan pesertanya perlu dilatih dengan baik, sebelum menyertai mana-mana kejohanan sama ada profesional ataupun amatur.
“Sekadar latihan biasa tidak cukup, imej sukan tinju merupakan sukan yang cukup berdisplin dan hormat menghormati dan tidak mencetus apa-apa provokasi. Atlet tinju negara juga dilatih dengan penuh displin sama ada dari segi latihan, sahsiah mahupun moral.
“Tinju bukan sekadar petunjukan dan suka-suka, atlet juga perlu membawa imej yang baik dan menjadi contoh kepada belia negara untuk menjaga akhlak, kalau ada penyertaan dari individu yang tidak bermoral, ia akan mengeruhkan imej sesuatu sukan tersebut,” katanya.
Beliau turut berharap agar kejohanan-kejohanan tinju amatur yang akan dianjurkan di tanah air selepas ini akan diselia selain mendapat pengiktirafan Persatuan Tinju Antarabangsa (IBA) dalam memastikan keselamatan peserta.
Sebagai rekod KBS difahamkan bertindak membatalkan perlawanan antara pemengaruh DMA Islam atau nama sebenarnya Danial Mirza pada kejohanan anjuran Majlis Belia Malaysia bersempena Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2025 di Dataran Merdeka. – TVS