KUCHING, 15 Jun: Kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus komited menyantuni individu yang berdepan masalah kesihatan mental merentas semua peringkat usia.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pelbagai inisiatif dilaksanakan termasuk penyediaan kaunter dan perkhidmatan bas bergerak sebagai usaha mendekati golongan memerlukan.
“Kita sediakan kaunter dan bas bergerak ke lokasi tertentu untuk mendekati masyarakat. Kadangkala individu tidak sedar mereka menghadapi masalah mental. Melalui aktiviti seperti melukis dan sesi interaksi, mereka mula sedar keperluan untuk bercakap dan berkongsi kerana terlalu lama memendam perasaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kem Kapten Keluarga di Damai Escape Park, Santubong.
Menurutnya, masalah komunikasi dalam keluarga seperti kurang berbual antara pasangan atau anak dan ibu bapa turut menjadi punca yang perlu ditangani segera.
Nancy turut memaklumkan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) berfungsi sebagai saluran intervensi langsung dan menyeru kerjasama semua pihak bagi menangani isu tersebut secara menyeluruh. – TVS