KUCHING, 15 Jun: Kerajaan Sarawak merancang membangunkan lebih 100 lot perumahan baharu di kawasan seluas 30 ekar yang meliputi Kampung Sejijak dan Kampung Paroh sebagai usaha menyediakan kediaman mampu milik kepada rakyat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek tersebut akan memberi peluang kepada penduduk tempatan memiliki rumah banglo dengan harga berpatutan tanpa perlu menanggung kos infrastruktur asas.
“Kerajaan akan menanggung sepenuhnya kos pembinaan infrastruktur seperti parit, bekalan air dan elektrik. Penduduk hanya perlu membayar premium tanah berjumlah RM2,500 untuk lot berkeluasan kira-kira 12 point,” katanya semasa berucap pada Majlis Penangguhan Regata Sejijak 2025, di sini hari ini.
Menurutnya, rumah yang akan dibina dijangka berharga sekitar RM150,000 dan pembeli akan dibantu melalui pembiayaan oleh Mutiara Mortgage & Credit Sdn. Bhd. (MUTIARA) dengan subsidi deposit sebanyak RM10,000 daripada Kerajaan Sarawak.
“Penduduk hanya perlu membayar ansuran bulanan sekitar RM200, menjadikan pemilikan rumah dan tanah bernilai lebih RM350,000 kini dalam jangkauan. Ini adalah aset penting yang boleh diwarisi dan tiada keperluan untuk berpindah ke tempat lain,” ujarnya.
Projek tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen Kerajaan Sarawak dalam memastikan rakyat khususnya di kawasan pinggir bandar memiliki tempat tinggal selesa dan berkualiti.-TVS