PUTRAJAYA, 15 Jun: Penubuhan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang mencapai usia 50 tahun dilihat kekal relevan sebagai ejen perpaduan masyarakat dan terus memberikan nafas baharu kepada komuniti seluruh negara.
Ketua Pengarah KRT, Datuk Che Roslan Che Daud berkata keutamaan jawatankuasa sukarela itu ialah untuk memberi tumpuan kepada lapan bidang utama bagi mendukung aspirasi kerajaa. memperkasa rukun tetangga.
“Antara tumpuan KRT ialah ekonomi dan sara hidup, keselamatan dan ketahanan komuniti, kepimpinan, kesejahteraan komuniti dan alam sekitar,” katanya.
Beliau ditemui media selepas merasmikan Sambutan Jubli Emas Rukun Tetangga Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya 2025 bersempena ‘Car Free Day’ di sini, hari ini.
Selain itu, tambah beliau tumpuan KRT juga adalah pembelajaran sepanjang hayat, warisan dan budaya, serta daya cipta.
Jelas beliau, menerusi pengkhususan bidang itu, KRT berhasrat untuk terus membantu masyarakat menerusi program-program ekonomi yang dilaksanakan supaya dapat menambah pendapatan isi rumah rukun tetangga.
“Projek ekonomi yang dilaksanakan oleh ahli komuniti adalah termasuk pertanian dan pelancaran produk sebagai inisiatif untuk melaksanakan projek tersebut,” ujarnya.
Che Roslan menambah kerajaan juga telah menyalur pelbagai bantuan kewangan bagi menjayakan pelaksanaan program-program tersebut. – TVS