KUCHING, 15 Jun: Kasih seorang ayah tidak selalu dizahirkan dengan kata-kata namun terserlah melalui pengorbanan dan usaha yang tidak mengenal lelah.
Itulah kisah Lehe’ Sani, 61, seorang tukang kasut yang saban hari membanting tulang di bawah jejambat Satok demi menyara tiga anaknya sebagai seorang ayah tunggal.
“Anak saya ada tiga orang. Yang sulung berusia 17 tahun, kedua 15 tahun dan yang bongsu baru lapan tahun,” katanya ketika ditemui TVS.

Kiosk tukang kasut bernombor empat milik Lehe’ yang disediakan oleh Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) bukan sekadar tempat mencari rezeki tetapi ia menjadi saksi setiap titisan peluh dan benang yang ditarik demi kelangsungan hidup keluarganya.
Walaupun tangan sudah dimamah usia dan kasar dek kerja bertahun-tahun, ia menyimpan nilai kasih sayang yang utuh seorang bapa kepada anak-anak.
Menggalas tanggungjawab sebagai satu-satunya tonggak keluarga, Lehe’ tidak pernah lalai menjaga kebajikan dan pendidikan anak-anaknya.
Beliau bekerja setiap hari dari jam 9 pagi hingga 4 petang dan hingga jam 2 petang pada hari Ahad.
Namun, masa bersama anak-anak tetap menjadi keutamaan.
“Setiap kali pulang dari tempat kerja, saya akan terus luangkan masa dengan anak-anak. Pada waktu malam kami memang ada masa bersama, mereka pun turut luangkan masa dengan saya,” katanya sebak.
Lehe’ turut berkongsi kenangan manis ketika anak-anaknya masih kecil dan sering datang menemaninya bekerja selepas tamat sekolah.
“Kenangan paling manis ialah apabila saya dapat beli barang sekolah mereka termasuk bayar yuran dan beri duit belanja… itu yang buat saya rasa gembira,” ujarnya.
Beliau memulakan kerjaya sebagai tukang kasut sejak tahun 1993, bermula di kaki lima sebuah bangunan di Kuching.
Sebelum itu, beliau belajar sendiri di kawasan Lebuh India dan kini sudah lapan tahun menetap di kiosk bawah jejambat Satok.
Antara pengalaman pahit yang dikongsikan ialah ketika jarinya pernah tertusuk jarum semasa menyiapkan kasut pelanggan seterusnya menjadi bukti bahawa pengorbanannya bukan kecil.
Kini, Lehe’ hanya berharap agar anak-anaknya berjaya dalam hidup dan mampu keluar daripada kepayahan hidup yang ditanggungnya kini.
“Cita-cita saya hanya satu iaitu mahu lihat anak-anak berjaya. Itu saja,” jelasnya.-TVS