KUCHING, 15 Jun: Keupayaan pemain tempatan sekali lagi dibuktikan apabila Arif Aiman menjadi watak penting dalam kemenangan skuad Harimau Malaya ke atas Vietnam dalam aksi Kelayakan Piala Asia AFC 2027 baru-baru ini.
Pemerhati sukan tempatan, Dato Dr Pekan Ramli menyifatkan persembahan cemerlang pemain muda itu sebagai bukti jelas pemain tempatan tidak seharusnya dipandang rendah berbanding pemain naturalisasi atau warisan.
“Sekiranya Arif Aiman tidak mencipta dua bantuan gol dalam perlawanan tersebut, belum tentu pemain warisan mampu menjaringkan gol. Ini menunjukkan pemain kita sebenarnya setanding, malah lebih hebat,” katanya ketika dihubungi TVS, hari ini.
Beliau menambah, kejayaan Arif Aiman adalah hasil daripada pembangunan sistem bola sepak tempatan yang semakin mantap dan harus dijadikan penanda aras kepada pemain lain.
Prestasi konsisten pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu juga katanya memberi inspirasi kepada rakan sepasukan untuk terus bekerja keras dalam mempertahankan tempat mereka dalam skuad kebangsaan.
“Ini sepatutnya menjadi pemangkin semangat kepada pemain tempatan agar tidak berasa terpinggir atau rendah diri. Mereka perlu berusaha lebih gigih untuk membuktikan bahawa mereka mampu bersaing secara merit,” ujarnya.-TVS