MIRI, 14 Jun: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi menghadiri Majlis Kesyukuran sempena Sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Masjid Jannatul Firdaus, Limbang.
Ketibaan mereka disambut oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail serta Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah.
Tun Wan Junaidi turut menunaikan solat Maghrib dan Isyak berjemaah disusuli bacaan Yassin, doa kesyukuran yang dipimpin Imam Besar Sarawak, Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi serta zikir Marhaban oleh Gabungan Kumpulan Zikir Bahagian Limbang.
Majlis diakhiri dengan jamuan makan malam.
Majlis tersebut merupakan antara pengisian sambutan peringkat negeri yang berlangsung dari 12 hingga 15 Jun termasuk program Limbang Kitchen, Pameran Raja Kita, dan Majlis Jamuan Teh.
Sempena sambutan tersebut, Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak melanjutkan waktu operasi pintu sempadan Malaysia–Brunei Darussalam hingga jam 12 tengah malam dari 11 hingga 15 Jun melibatkan ICQS Mengkalap (Lawas), Pandaruan dan Tedungan (Limbang) serta Sungai Tujoh (Miri). – TVS