KUALA LUMPUR, 14 Jun: Tiny Art Gala 2025 yang bertemakan “Bridging Cultures Globally” membuka tirai dengan mempamerkan lebih 2,000 karya seni mini hasil kreativiti 71 artis tempatan dan antarabangsa sebagai simbol penyatuan budaya dari seluruh dunia.
Pengasas FPC Foundation, Nick Ng Shu Lin berkata, pameran itu bukan sekadar meraikan seni tetapi juga berperanan sebagai platform kebajikan untuk mengumpul dana bagi membantu kanak-kanak yatim dan rumah kebajikan tidak berdaftar di Malaysia.
“Hari ini kita bukan sekadar melancarkan sebuah pameran seni. Kita sedang mencetuskan satu gerakan global yang menyatukan suara anak muda, pendidik, seniman dan warganegara dunia.
“Semuanya bersatu dalam kepercayaan bahawa seni mampu menyembuhkan, menyatukan dan memberi inspirasi,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Tiny Art Gala di ibu negara, hari ini.
Beliau turut memaklumkan Tiny Art Gala telah mencipta sejarah apabila diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai pameran seni mini pertama di negara ini.
“Dengan lebih 2,150 karya seni bersaiz kecil, kita bukan sahaja mencipta rekod, tetapi juga menyampaikan mesej bahawa setiap kanak-kanak berhak mendapat peluang, suara dan harapan,” ujarnya.
Pameran yang berlangsung secara percuma ini dibuka kepada orang ramai dari 14 hingga 15 Jun, bermula jam 10 pagi hingga 6 petang di iN Design Lab, KL Eco City.
Pengunjung akan disajikan dengan pelbagai pengisian menarik termasuk persembahan kebudayaan, sesi TED Talk, bengkel interaktif, serta peluang berinteraksi bersama para artis dan pencinta seni dari dalam dan luar negara.
Selain menikmati keindahan seni, para pengunjung juga berpeluang menyumbang kepada misi kemanusiaan dalam usaha memberi masa depan yang lebih cerah kepada golongan memerlukan.-TVS