KUCHING, 14 Jun: Tiga kereta terbiar musnah dalam kebakaran yang berlaku di kawasan tempat pembuangan sampah di belakang sebuah rumah di Jalan Arang Lorong 15C, petang tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 3.22 petang.
Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang yang diketuai PBK II (TBK I) Abdul Aziz Swandi bersama-sama sembilan anggota digerakkan ke lokasi menggunakan sebuah jentera FRT dan sebuah EMRS.
“Kebakaran melibatkan tiga kereta yang telah lama ditinggalkan di kawasan pembuangan sampah di belakang rumah terbabit.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak memadam api menggunakan satu aliran salur bantu mula dengan sumber air dari jentera,” katanya
Api berjaya dikawal sepenuhnya dan tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut. – TVS