Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan merasmikan festival berkenaan di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC) semalam

SICFest & SICSym serlah keunikan budaya Sarawak

ByAdlina Rahman

KUCHING, 14 Jun: Festival dan Simposium Koir Antarabangsa Sarawak 2025 (Sarawak International Choral Festival & Symposium – SICFest & SICSym 2025) menampilkan kepelbagaian budaya serta warisan etnik Sarawak melalui persembahan muzik dan seni tradisional memukau.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan berkata, festival berprestij itu bukan sahaja menjadi platform penting buat peminat dan penggiat muzik koir tetapi turut memperkenalkan keindahan seni budaya Sarawak kepada masyarakat antarabangsa.

“Menerusi pelbagai persembahan seperti tarian kebudayaan, lagu rakyat dan alunan alat muzik tradisional seperti sape, kita berkongsi keunikan budaya Sarawak yang kaya dengan pelbagai suara dan latar etnik.

“Muzik sudah sebati dalam jiwa masyarakat Sarawak, dan festival ini memberi peluang kepada peserta untuk merasai kehangatan hospitaliti, tradisi serta rentak kehidupan rakyat kita,” katanya ketika merasmikan festival berkenaan di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC), semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Business Events Sarawak, Amelia Roziman; Pengarah Festival dan Pengerusi Kuching Choral Society, Benedict Lo serta Pengarah Artistik festival, Susanna Saw.

Festival anjuran Kuching Choral Society dengan kerjasama Young Choral Academy dan disokong oleh Business Events Sarawak itu disertai delegasi antarabangsa dari Austria, Indonesia, Filipina, Singapura dan Jerman, serta peserta dari seluruh Malaysia termasuk Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Sibu dan Sabah.

SICFest 2025 berlangsung selama tiga hari bermula 13 hingga 15 Jun di dua lokasi utama iaitu Hikmah Exchange Event Centre dan Galeri Seni & Kraf Muzium Budaya Borneo dengan pelbagai acara menarik seperti bengkel vokal, konsert persahabatan dan kemuncaknya, pertandingan Grand Prix yang dijangka menutup tirai festival dengan penuh warna-warni.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan