LAWAS, 14 Jun: Seminar keusahawanan wanita anjuran Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Sari menjadi platform terbaik untuk menggalakkan penglibatan wanita luar bandar dalam bidang keusahawanan sekali gus memperkasakan ekonomi keluarga masing-masing.
Program yang berlangsung di Dewan Masyarakat Sundar hari ini merupakan sebahagian daripada siri jelajah Wanita PBB Bukit Sari ke setiap zon di kawasan Lawas.
Ketua Wanita PBB Cawangan Bukit Sari, Aujiana Garip berkata, pihaknya komited turun padang menyantuni ranting-ranting PBB khususnya sayap wanita bagi memantapkan aktiviti keusahawanan di peringkat akar umbi.
“Kali ini, kita hadir di Zon Sundar bagi memperkukuh semangat dan daya usaha wanita setempat dalam bidang keusahawanan,” katanya semasa merasmikan seminar tersebut.
Menurut Aujiana, program tersebut bukan sahaja memberi motivasi kepada peserta tetapi juga bertujuan melahirkan lebih ramai usahawan wanita terutamanya dalam kalangan belia untuk menerokai peluang dalam industri kecil dan sederhana.
“Kami mahu wanita, terutamanya golongan muda, dilengkapi dengan kemahiran dan keyakinan untuk memulakan perniagaan sebagai langkah awal memperkukuh ekonomi keluarga sebelum dikembangkan ke peringkat lebih tinggi,” ujarnya.
Program Zon Sundar kali ini melibatkan penyertaan daripada 11 ranting Pergerakan Wanita PBB bersama belia wanita serta usahawan tempatan di Daerah Kecil Sundar.-TVS