KOTA SAMARAHAN, 14 Jun: Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang terus komited menyokong pembangunan pendidikan khususnya dalam membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT).
Menurutnya, pemberian insentif pendidikan merupakan satu bentuk dorongan kepada anak muda yang berjaya menjejakkan kaki ke menara gading agar terus cemerlang dalam bidang akademik.
“Program anjuran Pusat Khidmat Parlimen Kota Samarahan ini bertujuan menyampaikan insentif pendidikan sebagai penghargaan atas pencapaian mereka dan sebagai galakan untuk terus maju dalam pelajaran,” katanya semasa berucap pada Program Simbolik Penyerahan Insentif Pendidikan dan Sumbangan Geran Khas Ahli Parlimen Kota Samarahan, semalam.
Pada majlis yang berlangsung di Pusat Khidmat Parlimen Kota Samarahan itu, beliau turut menyerahkan sumbangan geran khas kepada 31 persatuan dan kelab dari kawasan parlimen berkenaan.
Rubiah yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, sumbangan tersebut diberikan berdasarkan permohonan rasmi daripada jawatankuasa masing-masing, bertujuan menyokong pelaksanaan aktiviti dan pembangunan organisasi komuniti.
“Inisiatif ini diharap dapat memberi impak positif kepada masyarakat setempat dan memperkukuh jaringan kerjasama antara kepimpinan kawasan dengan komuniti akar umbi di Parlimen Kota Samarahan,” ujarnya. – TVS