KUCHING, 14 Jun: Penduduk sekitar Kuching optimis Sarawak kini berada pada landasan tepat untuk memainkan peranan utama dalam Projek Grid Tenaga ASEAN (ASEAN Power Grid – APG) sejajar dengan usaha meningkatkan keterhubungan tenaga serantau yang sedang digerakkan oleh negara-negara anggota ASEAN.
Wilayah ini dilihat sebagai kuasa penting dalam memacu agenda peralihan tenaga yang inklusif dan saksama, sejajar dengan aspirasi kebangsaan termasuk sasaran pembebasan gas rumah kaca (GHG) sifar bersih menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Hala Tuju Ekonomi Hidrogen (HETR), dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP).
Pengamal media, Charles Lukas, 27, menyifatkan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN Berkaitan Tenaga ke-43 (SOME) 2025 yang bakal berlangsung di Kuching sebagai platform strategik menghimpunkan pemegang taruh industri tenaga rantau ini termasuk rakan dialog dan organisasi tenaga antarabangsa.
“Mesyuarat ini sangat selari dengan hala tuju pembangunan tenaga Sarawak, khususnya dalam bidang tenaga hidro, pengeluaran hidrogen, dan tenaga boleh diperbaharui. Sarawak berada dalam posisi ideal untuk menjadi pemain utama ASEAN Power Grid,” katanya ketika ditemui semasa tinjauan di Jalan Padungan, di sini.
Sementara itu, Pengurus Sumber Manusia dan Pentadbiran sebuah syarikat swasta, Hasnandi Mohamad Jennis, 59, berkata, SOME 2025 membuka ruang kepada pelabur dan delegasi antarabangsa untuk memahami kekuatan serta potensi Sarawak dalam sektor tenaga.
“Mesyuarat ini menjadi pentas memperkenalkan dasar-dasar negara dan peranan Sarawak dalam membangunkan teknologi tenaga rendah karbon serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan,” ujarnya.
Pesara kerajaan, Azahari Ahmat, 59, pula berpendapat bahawa mesyuarat ini memperlihatkan peranan penting Asia Tenggara sebagai nadi peralihan tenaga global.
“Penganjuran SOME 2025 adalah bukti komitmen Malaysia dan Sarawak dalam membina kerangka tenaga serantau yang lebih bersih, selamat dan inklusif. Peralihan ini mesti dilaksanakan secara adil supaya manfaatnya dapat dirasai semua lapisan masyarakat,” jelasnya.
Mesyuarat SOME ke-43 anjuran Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) akan berlangsung dari 16 hingga 18 Jun ini di Hotel Sheraton, Kuching dengan tema Keterangkuman dan Kemampanan. – TVS