TANJUNG MALIM, 14 Jun: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijadual merasmikan penyerahan Bantuan Kewangan Khas (BKK) kepada pelajar Sarawak pada Julai ini.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee ketika ditemui media selepas menghadiri Dialog Inspirasi Pendidikan Sarawak anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), hari ini.
Menurut beliau, sebanyak 41,000 permohonan telah diterima bagi fasa pertama BKK, yang kini ditutup, manakala fasa kedua akan dibuka pada September.
“Kelulusan permohonan dijangka diketahui sepenuhnya menjelang penghujung Jun,” katanya.
Mengulas kaedah penyaluran bantuan, Dr Annuar menjelaskan bahawa bantuan berjumlah RM1,200 akan disalurkan menerusi Sarawak Pay (S Pay Global), namun penerima boleh memindahkannya ke aplikasi DuitNow bagi memudahkan urusan pembelian.
“Kita maklum tidak semua vendor menerima bayaran melalui S Pay Global, jadi pemindahan ke DuitNow dibenarkan,” jelasnya. – TVS