MIRI, 14 Jun: Pertandingan Miss Gawai Sarawak 2025 terus menyerlahkan keindahan budaya, warisan dan identiti masyarakat Dayak sempena penutupan Karnival Gawai Tradisi Peringkat Negeri Sarawak 2025.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata, pertandingan tersebut bukan sekadar pentas ratu cantik malah menjadi wadah memartabatkan adat resam dan seni budaya Dayak kepada khalayak yang lebih luas.
“Rekaan pakaian, seni pertuturan dan persembahan yang dipamerkan menonjolkan kekayaan adat serta bahasa tradisi kita. Ini adalah platform penting bagi mengetengahkan keunikan budaya dan identiti masyarakat Dayak,” katanya semasa merasmikan pertandingan di Dewan FORUM Miri, pada Jumaat.
Beliau turut menekankan Hari Gawai bukan sekadar pesta menuai tetapi juga simbol perpaduan rakyat pelbagai etnik di Sarawak, selari dengan semangat ‘Segulai Sejalai’ yang terus diperkuat.
Menurutnya, edisi kali ini cukup istimewa kerana julung kalinya diadakan di Miri, dengan Bangunan FORUM menjadi lokasi utama yang mencerminkan kebanggaan komuniti Orang Ulu.
“Kita berterima kasih kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas pemberian tanah seluas lima ekar dan geran RM37 juta bagi pembinaan bangunan ini yang kini menjadi mercu tanda baharu di bandar raya Miri,” ujarnya.
Beliau turut menyeru peserta agar tidak hanya menyerlahkan kejelitaan tetapi menjadi duta budaya dan sumber inspirasi dalam memperkasakan warisan negeri.
Pertandingan Miss Gawai Sarawak 2025 merupakan acara kemuncak Karnival Gawai Tradisi yang berlangsung selama dua hari di Bangunan FORUM. – TVS