LUNDU, 14 Jun: Perarakan Narakng Salako Rara yang diadakan setiap tahun bukan sahaja bertujuan memohon berkat daripada Sang Pencipta yang dikenali sebagai Jubata (Leluhur) tetapi juga memperkenalkan kekayaan adat dan budaya masyarakat Bidayuh Salako dan Rara kepada generasi muda dan khalayak umum.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, meskipun dunia semakin maju, warisan adat dan budaya perlu terus dipelihara melalui penganjuran program seperti perarakan Narakng.
“Program ini membuka ruang kepada generasi muda untuk mendalami akar budaya sendiri, menghargai nilai murni dalam adat resam serta mengenang jasa dan warisan nenek moyang,” katanya semasa merasmikan majlis penangguhan Perarakan Narakng Salako Rara di Dewan Serbaguna Kampung Serayan Baru, pada Sabtu.
Beliau turut mencadangkan agar program perarakan tersebut dijadikan acara tahunan rasmi yang dimasukkan dalam kalendar kebudayaan Daerah Lundu.
“Kita berharap Pejabat Daerah dapat mempertimbangkan untuk memasukkan perarakan Narakng dalam kalendar rasmi daerah. Sasaran kita ialah pada 23 Mei 2026 (hari Sabtu) sebagai tarikh tetap penganjuran program ini menjelang sambutan peringkat negeri pada bulan Jun,” tambah beliau.
Tahun ini, Perarakan Narakng bertemakan Narakng Ngirihatn Adat 2025 dimulakan dari Rumah Adat di Kampung Biawak dan melalui tujuh lokasi ritual sebelum berakhir di Dewan Serbaguna Kampung Serayan Baru sekitar jam 12 tengah hari.
Perarakan sejauh 30 kilometer itu diketuai Tukang Tarakng dan bertujuan menyantuni roh nenek moyang serta memohon kesejahteraan dan kesuburan tanah bagi tanaman padi, buah-buahan dan hasil alam.
Acara tersebut disertai lapan kenderaan berhias dan hampir 20 kenderaan pengiring yang memperlihatkan keunikan serta semangat gotong-royong masyarakat setempat dalam mengekalkan adat warisan.-TVS